Perkongsian seorang ibu yang mempersoalkan tindakan kurang empati pemandi jenazah sewaktu memandikan arwah anaknya telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tular yang dimuat naik di platform Threads, ibu itu memaklumkan bahawa kejadian bermula apabila pemandi jenazah berkenaan bertanyakan nama arwah anak perempuannya di hospital.
Sang ibu bagaimanapun langsung tidak menyangka bahawa pemandi jenazah yang bergelar ustazah terbabit tergamak mengeluarkan kata-kata mengguris hati tanpa memikirkan perasaannya ketika itu.
Mana tidaknya, individu itu mendakwa bahawa anaknya meninggal dunia di usia muda kerana diberi nama tanpa makna dalam bahasa Arab konon berdasarkan pemerhatiannya selama berkhidmat sebagai pengurus jenazah.
“Teringat kata-kata ‘ustazah’ yang mandikan jenazah anak saya sewaktu di hospital selepas proses bedah siasat. Dia tanya nama arwah anak perempuan saya. Saya jawablah. Terus dia ‘tembak’ dengan cakap tanpa berlapik.
“Katanya kalau boleh, selepas ini namakan anak dengan menggunakan bahasa Arab yang bermakna. Dia cakap sudah banyak mandikan jenazah kanak-kanak. Majoriti meninggal sebab ibu bapa beri nama yang tiada makna.
“Terkedu saya dekat situ sebab tertanya di mana perasaan empati dia. Sudahlah kena bayar sebanyak RM300 untuk dia uruskan jenazah,” kesal ibu terbabit yang masih hiba mengenangkan pemergian anaknya ketika itu.
Difahamkan, ibu terbabit memilih sejenis bunga untuk menamakan anaknya bersama satu patah perkataan yang sebenarnya memiliki makna di dalam bahasa Arab iaitu kebahagiaan atau ketenangan.

Baca juga: ‘Pakai tudung, minum arak’ – Dua inidividu ditahan untuk bantu siasatan