Tular video kedai makan sebelah tanah runtuh, pemegang permit diberi notis penutupan

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini tular rakaman mengejutkan memaparkan keadaan tapak sebuah premis restoran popular di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang terjejas teruk akibat hakisan tanah namun masih menjalankan operasi.

Visual yang dirakamkan dengan menggunakan dron itu sekali gus telah menimbulkan kebimbangan orang ramai berhubung keselamatan pelanggan restoran kerana lokasi tersebut dilihat terdedah dengan risiko tanah runtuh.

Susulan penularan video tersebut, premis yang teletak di Seksyen 45.9, Laluan Persekutuan 185 (ft 185: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands) itu diarah tutup selama sebulan demi keselamatan pelanggan dan pengguna.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, tindakan penutupan itu adalah di bawah bidang kuasa jabatan hutan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.

Hal ini berikutan kawasan tanah runtuh seperti terakam di dalam video berdurasi 41 minit itu terletak di Kompartmen 31 Hutan Simpan Bukit Kinta dan berhampiran dengan kawasan sebuah kedai makan, lapor Kosmo.

“Untuk tindakan dan laporan awal Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan memberi notis penutupan kepada pemegang permit mulai esok sehingga siasatan lengkap dibuat,” katanya memetik laporan Kosmo.

@yufara_

No comment for this video 😪 tkde niat nak tutup periuk nasi sesiapa, tapi korang boleh fikir2kan ape yg patut 😑 memang bersyukur sgt Allah masih lindung time tuu. Kalau tahu memang dri awal takkan stop kt situ for take a some view 🥹 tempat dah lawa tapi korang rasa mcm mna 🥹 #tanahruntuh #cameronhighland #cameronhighlands

♬ Nature and its beauties – rest of the soul & soul frequency

Terdahulu, tular hantaran daripada seorang pengunjung yang meluahkan kebimbangan atas risiko tanah runtuh di sebuah lokasi tarikan pengunjung itu selepas menonton visual dirakamkannya dengan menggunakan dron.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu, pengunjung terbabit menegaskan bahawa niatnya berkongsi rakaman berkenaan bukanlah untuk menutup periuk nasi atau rezeki pemilik restoran.

Sebaliknya pengunjung itu hanya mahu mendedahkan realiti sebenar dan merasa khuatir dengan keselamatan orang lain memandangkan kawasan persekitaran sudah terjejas teruk akibat daripada hakisan tanah.

Sekadar info, kedai makan itu telah diberikan kelulusan Permit Penggunaan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum seluas 0.4 hektar mulai 16 Mei hingga 31 Disember 2025.

Baca juga: “Nasinya macam letak empat sudu je” – Wanita kecewa beli makanan masa ‘sale’