Najib didapati bersalah guna kedudukan – Hakim

Oleh ROSLAN ZAMAN

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah terhadap tuduhan pertama menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu disuarakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence yang membuat keputusan mensabitkan Najib atas tuduhan itu selepas mendapati pembelaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.

“Pihak pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah kes terhadap tertuduh berhubung pertuduhan pertama.

“Oleh itu, saya mensabitkan tertuduh atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” katanya.

Seksyen 23 Akta SPRM berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk memperoleh suapan (salah guna kuasa).

Tuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu bakal berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.