Terkini: Najib dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.39 Billion

Oleh ROSLAN ZAMAN

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Najib, serta denda sebanyak lima kali ganda daripada jumlah keseluruhan wang yang diselewengkan.

Najib turut dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM11.39 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa tersebut, dan kegagalan membayar denda itu akan menyebabkan hukuman penjara tambahan selama 10 tahun.

Beliau juga dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap satu daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Kesemua hukuman penjara ini diperintahkan berjalan serentak.

Ketika memaklumkan hukuman tersebut, hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun memerintahkan agar tempoh penjara dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesemua 25 sabitan ke atasnya.

Hukuman penjara tersebut hanya akan bermula selepas dia menghabiskan hukuman penjara untuk kes SRC International, yang sedang dijalaninya.