Usahawan hadiah emas tulen kepada cikgu pada akhir tahun, ‘mak cik guard’ pun dapat!

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan usahawan kosmetik, Nurul Nabihan Azmi hadir ke sekolah untuk memberi hadiah istimewa kepada guru-guru yang mengajar anaknya telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, hadiah diberi oleh usahawan yang mesra disapa sebagai Bihan itu bukanlah biasa-biasa sebaliknya dibeli daripada sebuah kedai perhiasan popular di dalam sekitar 20 unit untuk diserahkan kepada setiap guru.

Berdasarkan rakaman berdurasi dua minit 25 saat dimuat naik di platform TikTok itu, Bihan memaklumkan bahawa emas tulen tersebut diberi sebagai tanda penghargaan di atas jasa guru-guru yang telah mendidik anaknya.

Menurut Bihan yang juga pernah bergelar sebagai guru itu, hadiah tersebut sebenarnya tidak seberapa sekiranya dibandingkan dengan jasa para pendidik dalam berbakti mencurahkan ilmu dan memberikan tunjuk ajar.

“Hadiah untuk cikgu-cikgu yang pernah mengajar anak-anak Bihan. Cuti sekolah, nak masuk tahun baru adalah sedikit buah tangan untuk cikgu. Hadiah tak seberapa jika nak dibandingkan dengan tunjuk ajar cikgu kepada anak-anak.

“Dalam hati masa ini rasa sedih sangat. Sehari sebelum itu, Bihan pergi belu hadiah. Saya tidak tahu nak beli apa. Mulanya ingat nak beli beg tangan sahaja tetapi tak sesuai pula. Tak akan nak beri beg tangan dekat cikgu lelaki juga.

“Tetapi emas semua orang suka. Jadi kita berikan emas sahaja, senang. Itu dia, sebeban dekat belakang kereta. Seronok tengok. Mesti seronok mereka yang dapat kan? Rasa dihargai sangat-sangat,” katanya dalam video tersebut.

Lebih mengagumkan, Bihan juga tidak lupa menghargai pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah anaknya dengan turut menyerahkan salah satu beg kertas jenama perhiasan berisi emas berkenaan.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terharu dengan tindakan usahawan terbabit menghargai guru malah tidak lupa untuk turut berkongsi rezeki dengan pengawal keselamatan.

Ramai juga pengguna mengirimkan doa agar usahawan itu dimurahkan rezeki sebagai balasan membahagiakan orang lain selain berharap agar anak Bihan juga mewarisi sikap ibunya kelak.

Baca juga: Kenapa orang kaya guna bank jadi makin kaya, orang miskin pula bertambah miskin?