Guna MyKad orang lain untuk tebus Budi95, lelaki warga tempatan ditahan

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak menyedari bahawa meminjamkan kad pengenalan kepada individu lain bagi tujuan menebus bantuan kerajaan merupakan satu kesalahan serius.

Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membuka ruang kepada penipuan serta penyalahgunaan bantuan

Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki menggunakan MyKad milik orang lain untuk tebus bantuan program Budi Madani RON95 (Budi95).

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah stesen minyak di Gemencheh semalam.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Bahagian Penguatkuasaan (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan penahanan seorang lelaki selepas disyaki menggunakan MyKad milik orang lain bagi menebus bantuan Budi95.

Tindakan tangkapan dibuat susulan aduan daripada pemilik sebenar MyKad selepas mendapati berlaku penebusan BUDI95 tanpa pengetahuannya.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun telah menggunakan MyKad tersebut di Stesen Minyak Petron, Gemencheh.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya,” jelas kenyataan tersebut.

Suspek telah ditahan di sebuah rumah PPRT di Kampung Baru, Sungai Lerek pada jam 12 tengah hari semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan MyKad.

Dalam masa sama, JPN memaklumkan permohonan perintah reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Tampin pada 27 Disember 2025 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam pada itu, JPN menegaskan bahawa memiliki atau menggunakan MyKad milik individu lain bagi apa-apa tujuan, termasuk penebusan bantuan kerajaan, merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

JPN turut mengingatkan orang ramai agar tidak meminjamkan kad pengenalan kepada pihak lain dan menasihatkan mana-mana individu yang menemui MyKad supaya segera menyerahkannya kepada pejabat JPN atau balai polis berhampiran.

Baca juga: Usahawan hadiah emas tulen kepada cikgu pada akhir tahun, ‘mak cik guard’ pun dapat!