Bukan bermegah, Haliza Maysuri dedah pakai busana RM185,000 untuk hargai karya

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemilik jenama terkenal Bawal Exclusive, Haliza Maysuri kembali mencuri perhatian apabila mendedahkan nilai busana yang digayakannya dalam majlis ulang tahun ke-27 keluaran produk tudungnya itu baru-baru ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Tiktok, Haliza mendedahkan bahawa busana bernilai RM185,000 bertatahkan kristal Swarovski yang dipakai dalam majlis tersebut direka khas oleh RI Couture.

Difahamkan, busana yang menggunakan kain diimport khas dari Eropah itu sahaja dianggarkan bernilai di dalam lingkungan lebih RM50,000 manakala jumlah batu kristal Swarovski pula berharga lebih RM135,000.

Jumlah batu kristal Swarovski dibawa khas dari Austria yang digunakan untuk menghasilkan busana tersebut dianggarkan berjumlah lebih dari 89,000 biji menjadikan nilai keseluruhan persalinan itu adalah RM185,000.

“RM185,000 untuk sebuah karya seni. Apa pendapat anda? Malam ini saya akan pakai busana RI Couture, dihiasi dengan kristal Swarovski sempena Makan Malam Gala ulang tahun ke-27 Bawal Exclusive.

“Nilai busana ini RM185,000. Bukan untuk bermegah. Tetapi untuk menghargai seni, ketelitian dan hasil kerja tangan yang luar biasa.

“Sebagai rakan rasmi dan pembekal Swarovski, saya gembira dapat menyokong para pereka dan sesiapa sahaja yang mahu menghasilkan karya terbaik mereka,” katanya dalam hantaran dimuat naik di akaun miliknya itu.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: Rela tolak tawaran gaji RM9k sebab tak nak kerja dengan Type-C