Perkongsian seorang ibu yang mendedahkan penderaan didakwa dialami oleh bayinya oleh pengasuh di sebuah taska di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur telah berjaya mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, ibu terbabit mendakwa bayinya yang baru berusia enam bulan itu diperlakukan seperti anak patung oleh pengasuh berkenaan termasuklah dicampak, digolek dan ditampar.
Beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan sebahagian daripada penderaan dialami oleh anaknya turut dikongsi dalam pendedahan dibuat menerusi platform media sosial Threads itu.
“Selalu dengar, tengok anak orang kena dera dekat taska. Kali ini jadi pula dekat anak sendiri. Empat tahun tunggu, empat kali gugur. Sembilan bulan aku kandungkan dia. Hancurnya hati tengok anak kena macam itu.
“Saya tunggu siasatan lanjut dari pihak polis. Kalau tiada tindakan, saya akan gunakan kuasa viral. Kalau tengok video itu automatik air mata turun. Sedih tak tergambar. Macam anak patung dia buat anak aku.
“Kejadian berlaku 15 Disember. Pengasuh taska ini semua syaitan bertopengkan manusia. Yang tengah itu anak saya. Dibedung, dicampak, digolek dan dipijak dengan dengan kaki,” kesalnya menerusi beberapa siri hantaran.
Menurut ibu terbabit, penderaan ke atas anaknya yang turut ditampar dan ditarik pengasuh itu disedari pada hari kejadian apabila melihat terdapat kesan lebam pada bahagian badan serta tangan bayi berkenaan.
Kes tersebut difahamkan sudah berada di dalam siasatan pihak polis namun ibu terbabit masih merasa tidak puas hati memandangkan hanya seorang pengasuh yang ditahan berhubung kejadian penderaan itu.
“Saya masih tak puas hati sebabnya seorang lagi tak kena. Saya menunggu hingga hujung minggu ini. Kalau masih lagi belum tangkap, nanti satu persatu video saya akan dedahkan. Alhamdulillah, anak saya baik-baik sahaja.
“Terima kasih semua atas doa-doa yang baik. Taska ini di Kampung Baru Salak Selatan. Kamu semua yang hantar anak dekat sini, tolong berhati-hati. Saya yakin, anak yang lain juga ada kena nasib sama.” Ujarnya.
Baca juga: “Dia tetap suami saya di syurga” – Balu arwah Abam tegur netizen sibuk buat andaian