Speaker Dun Perlis serah sendiri notis kepada SPR

Oleh ROSLAN ZAMAN

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, sudah menyerahkan notis pengosongan tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis sebentar tadi.

Memetik portal Berita Harian, notis serahan itu membabitkan kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping yang mana ketiga-tiga kerusi berkenaan dimenangi PAS.

“Serahan notis pengosongan kerusi itu dilaksanakan sekitar jam 12 tengah hari tadi dan diserahkan kepada Pengarah SPR Perlis, Siti Rahayu Ahmad Rusli di Pejabat SPR Perlis bagi memohon pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi memilih semula wakil rakyat di ketiga-tiga kawasan itu.

“Permohonan PRK ini akan tertakluk kepada SPR yang akan meneliti kesesuaiannya kemudian dan terserah kepada mereka untuk menentukannya,” katanya seperti dipetik Berita harian.

Sebelum ini, Rus’sele mengumumkan tiga kerusi DUN berlaku kekosongan luar jangka selepas Pas menghentikan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan tindakan mereka menyatakan hilang sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.