Satu rakaman dikongsikan oleh salah seorang peminat Biduanita Negera, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika berada di luar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, tujuan peminat terbabit hadir ke stadium yang menjadi lokasi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza itu adalah untuk menyaksikan sendiri persembahan daripada penyanyi nombor satu negara berkenaan.
Namun sayangnya hasratnya itu tidak kesampaian apabila didakwa menjadi mangsa penipuan tiket sehingga gagal masuk ke dalam stadium walaupun dipercayai sudah membuat pembayaran secara atas talian.
Berdasarkan perkongsian tular dimuat naik di platform TikTok itu, wanita terbabit mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas membeli tiket tersebut melalui urusan persendirian di laman media sosial Threads.
Peminat itu bagaimanapun tidak berjaya mendapatkan tiket sebenar sebaliknya hanya dapat mendengar lagu kegemaran dari luar stadium sambil duduk di atas lantai bersama mangsa yang menerima nasib sama sepertinya.
“Sudut pandang apabila anda menjadi mangsa penipuan tiket konsert sambil mendengar lagu kegemaran. Bersila dekat luar sahajalah. Mencari orang yang senasib,” ujarnya dalam keterangan video dan ruangan kapsyen hantaran.
Difahamkan, harga ditawarkan pihak ketiga itu dikatakan sama sahaja dengan nilai tiket sebenar namun wanita terbabit tidak mendedahkan jenis kategori tempat duduk dibelinya serta jumlah kerugian yang ditanggung.
Sekadar info, jualan tiket umum yang bermula Oktober tahun lalu itu dilaporkan mendapat sambutan hangat sehingga sekitar 96 peratus tempat duduk habis dijual dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori bermula dari serendah RM69 (Restricted View) dan RM89 (Bronze), diikuti RM189 (Silver), RM289 (Gold), RM359 (Platinum), RM459 (Diamond), RM1,299 (VIP) dan RM1,599 (Super VIP).
Fenomena permintaan tinggi itu mendorong peminat mencari alternatif lain untuk mendapatkan tiket konsert sempena meraikan tiga dekad perjalanan seni penyanyi terbabit melalui jualan ditawarkan pihak ketiga.

Baca juga: ‘Konon kutip derma bina masjid, bila dapat, duit diberi kepada isteri’ – Azam Baki