‘Ini hajat saya’ – Juara GV12 pilih kongsi hadiah kemenangan dengan golongan yang memerlukan

Oleh MAISARAH AISYA

Selepas dinobatkan sebagai Juara Gegar Vaganza 12 (GV12), Iskandar Ismail tampil dengan hasrat untuk menyumbangkan sebahagian daripada wang kemenangannya kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, kejayaan ini bukan sekadar rezeki untuk diri sendiri, tetapi peluang untuk memberi kembali kepada mereka yang banyak menyokong perjalanan seninya selama ini.

Buat penyanyi dari Singapura itu, berkongsi rezeki adalah hajat yang ingin ditunaikan selepas memenangi GV12 lapor Astro Gempak.

“Saya dah buat hajat sebenarnya, sebahagian daripada hadiah, saya ingin beri kepada mereka yang memerlukan seperti anak-anak yatim.

“Saya tidak kisah, kalau boleh tolong di Singapura, di Malaysia pun saya boleh tolong. Insya-Allah memang doa dan hajat saya untuk melakukan perkara itu.

“Dulu saya pernah menjadi juara dalam satu pertandingan di Singapura dan saya menderma sebahagian wang kemenangan kepada Yayasan Kanser,” ujarnya seperti dipetik Astro Gempak.

Kongsi penyanyi berusia 47 tahun itu, dia menganggap duet bersama penyanyi Jaclyn Victor ibarat mimpi jadi kenyataan.

GV12 berakhir dengan keputusan kumpulan dari Indonesia, Medua merangkul tempat kedua, manakala penyanyi Nubhan mengisi tangga ketiga.

Baca juga: Suami imamkan solat jenazah Nadia Kesuma, dikebumikan selepas Subuh waktu Jeddah