Isu murid enam tahun ke Tahun Satu, KPM beri jaminan guru cukup

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengumuman kerajaan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu di sekolah rendah bermula tahun hadapan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memberi jaminan bahawa bilangan guru, sekolah serta kemudahan sedia ada adalah mencukupi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata KPM telah menjalankan kajian terperinci berhubung pelaksanaan tersebut lapor Harian Metro.

Menurut beliau, hasil kajian mendapati keupayaan tenaga pengajar di sekolah yang dikenal pasti adalah mencukupi dan pelaksanaannya tidak akan menjejaskan kualiti pengajaran serta pembelajaran.

“KPM telah mengenal pasti sekolah yang bersedia, selain mempunyai pelan pembinaan kelas baharu secara sistem binaan berindustri (IBS) bagi menangani isu kepadatan dengan tempoh pembinaan yang singkat.

“KPM berpengalaman melaksanakan pembinaan IBS dan lebih 100 sekolah padat di seluruh negara telah berjaya ditangani melalui kaedah ini,” katanya.

Jelas Fadhlina, KPM akan menggunakan sistem data dan analisis bagi menyusun unjuran keperluan serta penempatan guru secara lebih berkesan mengikut keperluan sebenar sekolah.

Ini termasuk melengkapkan kemahiran guru bagi menyokong murid Tahun Satu berusia enam tahun.

“Kurikulum baharu ini akan turut menyokong pendidikan khas. Kita memperkenalkan pendekatan baharu iaitu memastikan semua sekolah baru dibina dilengkapi kelas pendidikan khas.

“Isu berkaitan prasarana di sekolah lama pula akan diselesaikan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada penyediaan empat prasarana utama di kelas pendidikan khas.

“Termasuk penambahan guru serta pembantu murid bagi memperkukuh sokongan pembelajaran,” katanya.

Baca juga: Perlabuhan Klang cemerlang di bawah Kerajaan Madani, masuk senarai ‘Top 10’ dunia!