Personaliti media sosial dikenali sebagai Sasha Abdul Aziz menjadi sasaran kecaman baru-baru ini selepas memuat naik kandungan berbentuk promosi berhubung rawatan laser untuk bahagian kelamin.
Tindakan Sasha yang disifatkan kurang sensitif itu bukan sahaja menimbulkan perbincangan hangat malah turut mendapat perhatian pendakwah selebriti, Ustazah Asma’ Harun untuk mengulas isu tersebut.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Ustazah Asma’ menjelaskan bahawa hukum membuat rawatan alat kelamin itu boleh jatuh haram jika dilakukan untuk tujuan kosmetik seperti mengetatkan atau mencerahkan.
Rawatan itu tetap tidak boleh dilakukan meskipun atas alasan untuk suami memandangkan prosedur tersebut melibatkan pendedahan aurat besar malah tindakan bercerita mengenainya juga seperti membuka aib sendiri.
Susulan menerima teguran secara terbuka, Sasha tampil memberikan penjelasan berhubung tujuannya membuat perkongsian mengenai rawatan alat kelamin itu menerusi hantaran dimuat naik di akaun Threads miliknya.
Wanita itu bagaimanapun akur menerima teguran dari Ustazah Asma’ serta mengakui ketelanjurannya dalam berkongsi tanpa ilmu mengenai hukum mendapatkan rawatan tersebut menurut agama Islam.
“Saya mengerti bahawa topik ini mungkin agak sensitif kerana orang ramai memiliki pendapat dan kepercayaan yang berbeza. Saya berkongsi perjalanan sebagai seorang ibu yang bercakap secara jujur tentang kesihatan wanita.
“Selain keyakinan diri selepas melahirkan anak. Namun selepas ustazah memberikan penjelasan bahawa rawatan ini disifatkan sebagai haram. Baru saya tahu dan pelajari perkara baharu bahawa ia dianggap haram,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Sasha berjanji akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran di media sosial selepas ini supaya tidak memberikan kesan negatif kepada pengikutnya.
Personaliti media sosial itu menegaskan bahawa dirinya tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak malah perkongsian yang mengundang kecaman orang ramai sebelum ini juga sudah dipadam.
“Kadang-kadang saya terlalu teruja apabila melibatkan kecantikan. Semua benda saya nak kongsi. Namun niat saya bukanlah untuk menyinggung perasaan sesiapa. Jadi hantaran tersebut sudah saya turunkan.” Ujarnya lagi.

Baca juga: ‘Ini baru betul influencer’ – RM20,000 berjaya dikumpul untuk bantu keluarga memerlukan