Demi menunaikan janjinya kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, seorang lelaki sanggup bangun seawal jam 5.30 pagi sebelum berlari sejauh lapan kilometer (km).
Segalanya berpunca daripada hantaran yang dimuat naik lelaki dikenali sebagai Lutfille Hadi itu menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads dengan permintaan agar Siti meninggalkan komen.
Lutfille menerusi perkongsian tersebut turut berjanji akan berlari sejauh lima km dengan diringi lagu nyanyian Biduanita Negara terbabit iaitu Kesilapanku Keegoanmu sekiranya komen ditinggalkan.
Namun perkongsian tersebut bukan sahaja menerima maklum balas malah Datuk Seri Siti Nurhaliza juga memberikan cabaran tambahan buat Lutfille untuk berlari sejauh 8km berbeza dengan rancangan asalnya.
“Ya Tuhan, aku baru perasan yang tokti suruh tambah sampai 8km. Tetapi tidak mengapa, aku akan sahut juga walapun masuk pehabat nanti habis muka pucat,”ujarnya dalam perkongsian itu.
Lutfille turut memuat naik rakaman seperti diminta Siti memaparkan aktiviti larian yang diselesaikannya dalam tempoh satu jam 10 minit bermula daripada 5.30 pagi sebelum waktu Subuh lagi.
Lelaki itu sempat menunaikan solat Subuh dahulu di tengah lariannya sebelum menyambung semula aktiviti senamannya dan selesai apabila orang ramai mula berangkat untuk pergi kerja.
“Dengan kaki jeli (lembik), aku gagahkan untuk masuk pejabat. Sekarang nak pergi cari kopi Amerikano tanpa gula sekejap. Terima kasih kepada warga Threads atas sokongan. Terima kasih Datuk ‘push’ saya lari pagi ini.
“Aku sudah nekad tak nak sebut nama artis lagi selepas ini lagi-lagi bab berlari. Nasib TokTi tak minta 20km ke atas.” Ujarnya dalam perkongsian seterusnya yang turut mendapat maklum balas daripada Siti.

Baca juga: Pernah jual buah pinggang demi iPhone, apa jadi dengan pemuda China ini selepas 10 tahun?