Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan pemberian manfaat yang akan menjamin kebajikan, perlindungan sosial dan daya tahan ekonomi golongan pekerja.
Inisiatif ini termasuklah pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB), perlindungan PERKESO buat rakyat yang bekerja di luar negara dan pelaksanaan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 (PACE).
Menurut Anwar, kerajaan sememangnya komited dalam memperkukuh perlindungan sosial pekerja selaras dengan perubahan landskap pasaran buruh dan keperluan semasa tenaga kerja negara.
Berikut kami senaraikan tiga inisiatif utama yang diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Jumaat lalu.
1. Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB)
Kerajaan akan memperkenalkan EPCB di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 sebagai bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.
Difahamkan, faedah ini dicadangkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan disalurkan secara one-off atau sekali bayar.
Anwar memaklumkan bahawa insiatif proaktif itu dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 132 ribu orang pekerja wanita khususnya buat mereka yang bergelar ibu.
2. Perluasan perlindungan PERKESO kepada rakyat yang bekerja di luar negara
Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bakal menerima manfaat daripada cadangan peluasan perlindungan PERKESO ini bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Anwar menjelaskan bahawa langkah itu penting kerana secara purata, satu nyawa rakyat Malaysia dilaporkan hilang setiap minggu terutama dalam kalangan pekerja rentas sempadan.
Sehubungan dengan itu, kerajaan akan memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada, termasuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan insiatif tersebut diperluaskan.
3. Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) bernilai lebih RM710 juta
Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan pakej PACE yang bernilai melebihi RM710 juta bagi memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara.
Pakej itu bertindak sebagai langkah awal dalam membantu menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan perubahan pesat teknologi yang memberi kesan kepada pasaran pekerjaan.
PACE merangkumi empat komponen utama iaitu kesiapsiagaan perlindungan sosial menerusi dana Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melebihi RM580 juta, pemerkasaan latihan dan penempatan kerja RM100 juta, pengupayaan pekerja gig RM20 juta serta geran padanan latihan industri bernilai RM10 juta.
Pengumuman mengenai insiatif tersebut dibuat Perdana Menteri ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026.

Baca juga: Netizen bergaduh kenapa masih ramai penumpang wanita tak nak duduk dekat koc khas LRT & MRT?