Media Indonesia minta rakyat jangan ‘iri’, Ringgit Malaysia jadi wang terkuat Asia

Oleh MALAYSIADATELINE

Tajuk laporan dikeluarkan oleh media negara jiran iaitu Indonesia mengenai prestasi nilai mata wang Ringgit Malaysia telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, media tersebut secara berseloroh meminta rakyat Indonesia tidak merasa ‘iri’ atau cemburu dengan prestasi Ringgit Malaysia yang kini menjadi mata wang paling kukuh di Asia.

Menurut laporan CNBC Indonesia, pencapaian itu cukup menarik kerana mata wang Malaysia kekal kukuh walaupun perlu berhadapan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Ringgit juga merekodkan pengukuhan sebanyak 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan teratas di belakang Yuan China (2.23 peratus).

Dolar Singapura berada di tempat ketiga dengan peningkatan sekitar 0.7 peratus manakala Dong Vietnam pula di kedudukan keempat selepas menunjukkan penurunan sebanyak 0.13 peratus.

Prestasi mata wang Asia berbanding dolar AS sejak awal tahun sehingga penutupan dagangan pada 28 April 2026.

CNBC Indonesia menjelaskan bahawa pencapaian ini didorong oleh prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh, pertumbuhan ekonomi stabil serta aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal negara.

Perkara ini dapat dilihat menerusi data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2026 meningkat 9.3 peratus kepada RM273.0 bilion berbanding RM249.8 bilion di tahun sebelumnya.

Kenaikan ini adalah hasil pertumbuhan eksport yang menaik sekitar 8.3 peratus menjadi RM148.8 bilion manakala import pula melonjak sebanyak 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion.

Kadar lebihan dagangan pula menyusut sedikit sebanyak 0.9 peratus kepada RM24.6 bilion namun ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis global.

Baca juga: Tak pasal-pasal dituduh guna pelaris, komen ‘padu’ tauke mamak ini buat ramai netizen setuju