Kecoh isu ‘sunshade’ boleh disaman, ini jawapan Menteri Pengangkutan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengguna kenderaan yang memasang pelindung cahaya matahari atau sunshade pada kenderaan masih tertakluk kepada peraturan sedia ada.

Namun kesalahan itu bukan antara fokus utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini lapor Berita Harian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun undang-undang membolehkan tindakan diambil terhadap pemasangan aksesori yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Keutamaan JPJ pada masa kini lebih tertumpu kepada kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Ada banyak (kesalahan jalan raya) tetapi lebih banyak perkara kritikal terhadap keselamatan (yang menjadi keutamaan JPJ). Ia bukan tidak penting tetapi perkara-perkara sebegini bukan keutamaan.”

“Keutamaan kita adalah seperti lumba haram, pemandu mabuk, memandu secara haram, rempit yang membahayakan orang lain.

“Kita memang ada peraturan itu (terhadap tindakan memasang ‘sunshade’) tetapi tidaklah sehingga menakut-nakutkan orang lain. Sekarang juga cuaca panas, jadi faham,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas polemik berhubung penggunaan sunshade yang menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial selepas JPJ menjelaskan pemasangan aksesori berkenaan boleh dianggap satu kesalahan jika tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Isu itu turut mencetuskan reaksi netizen yang mempersoalkan kemungkinan tindakan saman sehingga RM300 dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan sunshade.

Mengulas lanjut, Anthony menjelaskan JPJ setakat ini tidak pernah mengeluarkan saman terhadap pengguna kenderaan semata-mata kerana memasang pelindung cahaya matahari tersebut.

“Bagaimanapun, sekiranya anda tanya pengarah JPJ negeri, dia mesti akan jawab.

“Dia tidak boleh jawab peraturan ini tiada kerana ia sememangnya ada. Itulah situasi sebenar isu (sunshade) ini,” katanya.

Menurut beliau, kewujudan sesuatu peraturan tidak semestinya bermaksud ia menjadi fokus utama penguatkuasaan, sebaliknya tindakan lebih tertumpu kepada kesalahan yang mempunyai risiko tinggi terhadap keselamatan awam.

Baca juga: PM Anwar ucap tahniah kepada rakyat, lonjakan ranking daya saing negara bukti reformasi berhasil