Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak adalah bukti keyakinan terhadap keupayaan pentadbiran negeri untuk mengurus asetnya sendiri.
Penukaran status daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri itu bukan sahaja mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak malah turut membuktikan komitmen Kerajaan Madani terhadap pelaksanaan MA63.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar menekankan bahawa kemajuan antara Kerajaan Persekutuan dengan pentadbiran Sarawak ini dapat dicapai melalui asas kepercayaan, persahabatan dan semangat muafakat.
“Meskipun sebahagiannya memerlukan penelitian serta rundingan yang teliti, hubungan yang dibina atas kepercayaan, persahabatan dan semangat muafakat telah membolehkan banyak kemajuan dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Saya percaya bahawa apabila sesebuah negeri ditadbir dengan baik, dipimpin oleh pimpinan yang berwibawa dan memahami prinsip tadbir urus yang baik, hasilnya akan dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan itu dalam hantaran tersebut.
Peranan Pelabuhan Bintulu
Pelabuhan ini bukan sahaja berperanan sebagai hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara tetapi turut menjadi pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang penting dalam landskap ekonomi Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
Pengisytiharan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan zon bebas untuk pelaburan dan pengembangan industri juga memperkukuh ekosistem ekonomi Sarawak selain menyokong rantaian bekalan serta aktiviti ekonomi hiliran.
Kronologi Penukaran Status Pelabuhan
Pelabuhan Bintulu mulanya berada bawah bidang kuasa negeri Sarawak sebelum diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada era 1970-an agar pembangunan pelabuhan tersebut dapat dibiayai pinjaman yang dijamin oleh kerajaan pusat.
Hal ini berikutan kerajaan negeri ketika itu memerlukan bantuan pembiayaan melalui pinjaman dalam jumlah sekitar RM400 juta daripada Asian Development Bank (ADB) yang memerlukan jaminan dari pihak kerajaan (sovereign guarantee).
Rundingan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu ini kemudian dilakukan secara harmoni antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar dan kerajaan negeri yang ditadbir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Proses itu berakhir secara rasmi dengan persetujuan kedua-dua belah pihak melibatkan nilai pampasan sebanyak RM1.8 bilion dari Kerajaan Sarawak untuk menggantikan kos pembinaan dan pembangunan prasarana yang sebelum ini ditanggung pentadbiran Persekutuan.
Baca juga: Kenapa Anwar bawa nama Sarawak hingga ke Rusia dan Jepun? Ini jawapannya