“Acik dah masuk 50 tahun dik…” – Respons spontan Siti Nurhaliza buat netizen terhibur

Oleh MALAYSIADATELINE

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri perhatian ramai apabila memberi respons bersahaja terhadap cadangan seorang peminat yang mahu beliau bekerjasama dengan penyanyi Mimi Fly dan Aisha Retno untuk menghasilkan persembahan lebih bertenaga.

Menerusi hantaran di platform Threads, seorang pengguna, Azie mencadangkan agar Siti mempertimbangkan kerjasama tersebut.

Azie meluahkan rasa kagum dengan persembahan penyanyi yang juga anak kepada penyanyi Adira iaitu Anggerik yang disifatkan mempunyai elemen tarian dan susunan persembahan memukau.

Menurut peminat itu, dia membayangkan gabungan vokal Siti bersama koreografi yang lebih aktif mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Bagaimanapun, respons penyanyi lagu Cindai itu membuatkan ramai terhibur.

“Kongkanglah saya menari.. yang kuban-kuban (bukan-bukan) je dia minta ye.. Acik dah masuk 50 tahun dik,” balas Siti secara berseloroh.

Jawapan ringkas itu pantas meraih ribuan tanda suka dan perkongsian, selain mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mempertahankan penyanyi kesayangan mereka itu.

Kebanyakan pengguna Threads memaklumkan persembahan nyanyian Siti sahaja sudah cukup mengagumkan tanpa perlu elemen tarian berlebihan.

“Tokti (Datuk Siti) haritu melompat pun kami dah wow. Jangan demand lebih-lebih.

“Tak apa Tokti, Tokti nyanyi saja. Biar kami pula yang kongkang-kongkang di tempat duduk. Berdiri tegak dan senyum pun kami dah gembira.

“Agak-agaklah nak bandingkan Tokti dengan Anggerik. Biar Anggerik dengan gayanya, Tokti dengan kelasnya sendiri,” antara komen pengguna Threads.

Baca juga: Lelaki tular berhujan sampai dipujuk abang bomba munculkan diri di sosial media