Pelakon, Abby Abadi menyimpan harapan besar agar anak perempuannya iaitu Marissa Dania Hakim diberikan peluang untuk diraikan di dalam satu majlis yang indah suatu hari nanti.
Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci, namun orang dapat menyimpulkan bahawa majlis dimaksudkan Abby dalam perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu adalah acara resepsi atau persandingan Marissa.
Pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu sedar bahawa harapannya itu mungkin sekadar angan-angan namun dirinya tetap percaya bahawa Marissa juga tetap berhak diraikan seperti wanita lain.
“Mama tengah berangan. Berangankan percuma. Doakan untuk anak cantik Mama, Marissa Dania agar ada rezeki merasa majlis yang indah-indah. Supaya dapat menjadi kenangan abadi untuk diri dia.
“Sebab dia juga berhak untuk diraikan sebaiknya. Ya Allah, semoga ada rezeki untuk anak ini Ya ALLAH. Majlis yang serba indah dan penuh ketenangan,” katanya di ruangan kapsyen video berdurasi 18 saat itu.
Difahamkan, keinginan sedemikian timbul selepas Abby bersama anak-anak perempuannya menghadiri majlis resepsi selebriti, Erra Fazira dan Ezwan Zain yang khusus diadakan buat rakan artis pada Sabtu lalu.
Abby juga tidak lupa untuk mengirimkan doa tulus buat Marissa yang kini bergelar pempengaruh media sosial itu agar dikurniakan kebahagiaan serta dipelihara daripada segala bentuk ujian yang melemahkan iman.
“Serikanlah wajahnya dengan cahaya kebahagiaan. Lapangkanlah jiwa raganya dan peliharalah kehidupannya daripada segala ujian yang melemahkan iman. Amin. Tolong aminkan sekali doa Mamanya ini.” Pintanya.
Terdahulu, Marissa menikah dengan Ahmad Aslam yang kini turut bergelar pempengaruh sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 lalu tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Pernikahan tersebut juga dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu pempengaruh dikenali sebagai Misya Mazlan yang ketika itu sedang berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah.
Baca juga: Syahmi Sazli raih ratusan ringgit hanya dengan muat naik gambar random