Acara tular lelaki berpakaian wanita, MOTAC sahkan logo digunakan tanpa kebenaran

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita menerima anugerah dalam acara Miss & Mister Celebrity International 2025.

Kejadian itu sekali gus mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya dengan penggunaan logo rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia tanpa kebenaran.

Disebabkan itu MOTAC bersama Tourism Malaysia menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran acara yang berlangsung dari 14 hingga 22 Disember lalu di Galaxy Hall, HGH Convention Center, Sentul.

Menerusi satu kenyataan, Tourism Malaysia memaklumkan bahawa penggunaan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur acara berkenaan dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi.

Sehubungan itu, MOTAC dan Tourism Malaysia menegaskan bahawa mereka tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara tersebut mahupun penggunaan logo tanpa kebenaran.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak kementerian dan Tourism Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur terlibat bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi.

Baca juga: Najib didapati bersalah guna kedudukan – Hakim