Adik kepada mangsa keganasan rumah tangga yang koma akibat dipukul suami, Jahidah Nordin iaitu Fazariah Nordin baru sempat menonton program Fail Mahkamah berkaitan kes kakaknya.
Menurut Fazariah, hampir semua kenyataan yang dibuat tertuduh iaitu Rosmaini Abdul Rauf ketika tampil dalam program dokumentari jenayah itu memang bercanggah dengan fakta sebenar.
Fazariah memaklumkan antara kenyataan tidak benar dibuat oleh bekas abang iparnya itu adalah berhubung situasi hubungan tertuduh dengan keluarganya yang dikatakan sangat rapat.
Penafian tersebut dibuat oleh Fazariah menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya selepas menonton dokumentari popular yang disiarkan di televisyen menerusi TV3 itu.
“Aku harap kamu semua jangan percaya bulat-bulat. Apa yang dia cakap, semua bercanggah. Ini adalah kali pertama aku tengok sesi temu bual dia dengan TV3. Tak habis tetapi cukup buat aku sesak nafas, geli geleman dan menggigil.
“Dia kata kami ini rapat. Keluarga Jahidah sangat rapat dengan dia? TIDAK BETUL SAMA SEKALI! Kami tahu Kak Jahidah ada mengenali seseorang. Selepas Kak Jahidah kata nak kahwin barulah dia dikenalkan dengan kami.
“Tak rapat mana pun kami dengan dia. Lagi-lagi bab dia cerita konon jadi komando dekat Pulau Tanduo. Dekat situ kami sudah perasan yang dia penipu. Dia kata hari-hari ada video call dengan kami? Membongak je lebih,” kesal Fazariah.
Fazariah sebaliknya menjelaskan bahawa setiap kali berhubung dengan kakaknya melalui panggilan biasa atau video, Rosmaini akan ‘menyibuk’ untuk mendengar perbualan mereka.
Dalam perkongsian itu, Fazariah juga menyangkal kenyataan Rosmaini dalam program berkenaan bahawa Jahidah akan dibawa ke Melaka untuk berjumpa dengannya pada setiap minggu.
“Sepanjang sembilan bulan perkahwinan mereka, cuma sekali sahaja mereka datang berjumpa saya di Melaka. Sebelum berkahwin, kak Jahidah akan datang ke Melaka berjumpa dengan anak-anak saya. Malah bermalam di rumah pada hari raya.
“Tetapi selepas kakak kahwin dengan dia, sekali sahaja mereka datang ke Melaka bersama atas urusan kerja kakak. Masa itu berlaku perselisihan faham juga antara saya dengan kak Jahidah disebabkan jantan ini.
“Dia panas baran. Tiba-tiba kakak kata tak jadi nak jumpa. Padahal sudah sampai kawasan rumah kami. Saya dekat rumah mentua, dia memang kenal Kak Jahidah. Jadi mentua belikan nasi Arab untuk makan bersama mereka,” kongsinya.
Mengulas lanjut, Fazariah memberitahu bahawa mereka bertemu juga walaupun sebentar selepas Jahidah dipujuk namun dapat melihat banyak perubahan kepada sikap kakaknya.
Kakaknya yang ketika itu sedang mengandung enam minggu dikatakan lebih banyak termenung namun sayangnya itulah pertemuan kali terakhir bersama Jahidah ketika dirinya masih ‘normal’.
“Satu minggu selepas itu, dapat panggilan dari saksi pertama mengatakan kak Jahidah di unit rawatan rapi (ICU). Tiada waris sebab jantan yang sepatutnya ada melarikan diri. Doktor tak dapat telefon waris. MyKad, barang peribadi semua jantan itu bawa lari.
“Dia memang mulut manis dan pandai ambil hati orang. Mentua aku sampai tersuka dengan jantan ini. Nampak macam sangat baik, hormat orang tua, peramah dan pandai ambil hati. Kamu semua nilailah sendiri. Aku nak cakap lebih tak larat.” Ujarnya.
Baca juga: Tingkatan 4 tak reti bundar nombor, guru tuisyen kecewa ibu tak bagi tegur anak