Hubungan yang terjalin di antara penyanyi nasyid terkenal berstatus suami orang dengan anak perempuan kepada seorang ahli politik sebenarnya sudah lama diketahui oleh keluarga mereka.
Walau bagaimanapun, ahli politik yang tidak dinamakan itu enggan merestui hubungan tersebut memandangkan penyanyi nasyid berkenaan berstatus suami orang dan memiliki keluarganya sendiri.
Oleh yang demikian, ahli politik terbabit menyarankan agar penyanyi nasyid itu menjaga batas dan menghormati kedudukan masing-masing selain berharap isu tersebut tidak terus berlarutan, lapor Mstar.
Identiti sebenar anggota kumpulan nasyid terkenal itu masih belum didedahkan oleh pihak media sehingga kini namun isu mengenai hubungan tersebut tetap menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
“Ya, saya tahu tentang hubungan anak dengan penyanyi nasyid berkenaan. Sebagai bapa, sejujurnya saya memang tidak menerima apa yang berlaku. Tambah pula, penyanyi nasyid berkenaan sudah pun memiliki isteri dan anak.
“Apa yang saya boleh katakan, harap tiada lagi gangguan daripada pihak artis tersebut. Fokus sahaja kepada hubungan dengan keluarganya. Itu sahaja,” pinta ahli politik berkenaan memetik laporan Mstar.
Terdahulu, seorang penyanyi nasyid terkenal dilaporkan berlaku curang dengan menjalinkan hubungan sulit bersama wanita berusia 20-an yang juga anak kepada ahli politik sejak akhir tahun lalu.
Dakwaan tersebut timbul apabila penyanyi nasyid terbabit dikatakan sering keluar berdua-duaan dengan wanita itu di tempat awam terutamanya di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.
Namun perkara yang lebih menyedihkan adalah isteri kepada penyanyi nasyid berkenaan dikatakan baru sahaja melahirkan anak mereka ketika hubungan sulit suaminya itu mula terbongkar.
Difahamkan, isteri kepada penyanyi berkenaan ketika ini sudah mengetahui mengenai hubungan sulit dijalinkan oleh suaminya dan memberikan kebenaran kepada lelaki itu untuk berkahwin lain demi kesejahteraan keluarga.
Baca juga: Netizen kongsi perbezaan layanan di bengkel orang Melayu dengan orang Cina cetus perbincangan hangat