Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Amar semalam antara pemimpin kanan PAS yang terawal membuat kenyataan terbuka berkenaan dengan situasi hubungan PAS dan Bersatu.
Nik Amar dalam hantarannya di saluran facebook menulis “Apakah retak menanti belah?”. Hantaran itu didakwa mengenai hubungan tegang antara parti kompenen dalam Perikatan Nasional iaitu Bersatu.
Suhu panas antara kedua-dua parti mencapai tahap tertinggi semalam apabila Adun dari Bersatu dilantik menjadi Menteri Besar yang baharu menggantikan Mohd Shukri dari PAS yang meletakkan jawatannya sebelum itu.
Turut memberi komentar yang sama adalah dari Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi. Ahli Parlimen Alor Star itu mengucapkan terima kasih kepada Bersatu mengenai erti sebuah persahabatan.
“Terima kasih kerana mengajar kami erti KAWAN. Akan diingati sampai bila-bila.”, tulisnya di hantaran facebook.
Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau,
Beliau yang sebelum ini EXCO Pelancongan dan Kebudayaan negeri mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis ke-9 pada jam 4.08 petang selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Serentak itu, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU negeri menjadi Menteri Besar pertama daripada BERSATU bagi Perlis.