‘Banyaknya hutang 1MDB yang kita nak kena sama-sama tanggung’

Oleh NASUHA RAHMAN

Saya kongsikan satu artikel CEO Morning Brief berkenaan hutang-hutang 1MDB yang perlu dibayar tahun ini dan tahun hadapan. Disertakan juga laporan dari Kementerian Kewangan berkenaan kewangan 1MDB yang terkandung di dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023.

Selepas membayar hutang 1MDB Energy Limited pada bulan Mei tahun ini, baki hutang berkaitan 1MDB dianggarkan berjumlah RM 25.9 bilion. Di dalam bulan Oktober, satu lagi bayaran sebanyak USD 1.75 bilion perlu dibayar. Di dalam Tinjauan Fiskal, ianya diterjemahkan kepada RM 7.7 bilion. Jika kita kira balik, kadar tukaran Ringgit/USD yang digunakan ialah 4.4. Saya rasa kadarnya jauh lebih tinggi sekarang.

Pada akhir Jun 2022, baki Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset yang dipegang oleh Kementerian Kewangan berbaki sebanyak RM 8 bilion. Ini berbanding dengan hutang pokok RM 25.9 bilion dan faedah/keuntungan sebanyak RM 5.7 bilion. Jadi tanggungan sebenar adalah RM 31.6 bilion pada kadar tukaran Ringgit/USD yang digunakan oleh Kementerian Kewangan.

'Banyaknya hutang 1MDB yang kita nak kena sama-sama tanggung'

Di dalam bulan Mac 2023, bon global 1MDB berjumlah USD 3 bilion pula akan matang. Kementerian Kewangan menilai hutang ini berjumlah RM 13.2 bilion. Pada kadar tukaran semasa, jumlahnya jauh lebih besar. Amerika pula dijangka akan menaikkan kadar dana kebangsaan kepada 4.5% berbanding dengan kadar sekarang. Ini akan menyebabkan tekanan ke atas Ringgit dan membesarkan lagi hutang 1MDB yang perlu dibayar.

Artikel CEO Morning Brief membuat beberapa conggakan bagi memudahkan kita memahami kesan hutang 1MDB ke atas rakyat. Di dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada hari Jumaat sebelum Perlimen dibubarkan pada hari Isnin kemudiannya, kerajaan memperuntukkan RM 7.8 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia 2023. Ini hanyalah lebih kurang 60% dari hutang 1MDB yang perlu dibayar tahun hadapan. Tentunya kita boleh nampak bertapa besarnya kesan hutang ini ke atas rakyat Malaysia seperti kita semua?

'Banyaknya hutang 1MDB yang kita nak kena sama-sama tanggung'

Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan yang dipetik oleh Berita Harian pada 21 Julai 2022, semenjak 2017 sehingga Mei tahun ini kerajaan telah membayar sebanyak RM 10.85 bilion bagi menjelaskan hutang-hutang 1MDB.

Baca Artikel Penuh