JAIS jawab isu jenazah dihalang dari dikebumi, ini cerita sebenar yang berlaku

Oleh KIM SYAZIE

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil menjawab isu yang sedang berlegar di media sosial mengenai satu jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang dihalang dari dikebumikan kerana kononnya tidak melunaskan bayaran sebanyak RM1,400 kepada pihak masjid.

Dalam satu penjelasan semalam, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menafikan dakwaan bahawa pihak masjid menuntut bayaran tersebut bagi membolehkan jenazah diuruskan.

Apa yang berlaku adalah, timbul kekeliruan dari pihak waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.

“Semakan JAIS mendapati jenazah berkenaan adalah ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun 2026 pada jam 6.22 pagi.

“Hasil siasatan mendapati pada peringkat awal waris berurusan dengan BKS bagi tujuan pengebumian.

“Waris berhasrat untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan di lokasi Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Bapa kepada si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi itu.

“Beliau juga bersetuju pihak masjid yang mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah,” katanya memetik Harian Metro.

Mohd Shahzihan berkata, masjid mengeluarkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam berkenaan pada jam 11.15 pagi setelah menerima Daftar Kematian yang asal.

“Pihak masjid juga dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras untuk jenazah diuruskan oleh BKS.

“Mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid meminta bantuan pihak polis untuk bersama ke tempat pengurusan jenazah.

“Ketika tiba di tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan Islam oleh BKS dalam keadaan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian si mati masih berada dalam pegangan pihak masjid,” katanya.

Oleh kerana waris terus membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen yang sah, urusan pengebumian jenazah tidak dapat diselesaikan sehinggalah pihak masjid dihubungi oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang memaklumkan bahawa jenazah berada di liang lahad.

“Pihak masjid kemudiannya membawa dokumen yang sah ke tanah perkuburan untuk membolehkan pengebumian tersebut disempurnakan.

“Dalam masa sama, pihak masjid juga mendapati bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur yang membolehkan keberadaan jenazah di liang lahad didapati palsu.

“Oleh itu, laporan polis sudah dibuat berkaitan pemalsuan dokumen terbabit, semalam (26 Jun),” katanya.

Justeru katanya, JAIS menasihatkan masyarakat Islam untuk merujuk terus kepada pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi urusan pengebumian jenazah untuk mengelak berlaku kelewatan pengebumian.

Baca juga: Selepas 52 tahun, Malaysia dan Switzerland runding semula perjanjian pengelakan cukai berganda