Berani ‘sapu’ subsidi rakyat! Lelaki Bangladesh kantoi guna 2 MyKad, didenda RM10,000

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh akhirnya ‘kantoi’ apabila didapati berani guna dua MyKad milik rakyat Malaysia semata-mata nak beli petrol subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Tindakan licik itu bagaimanapun memakan diri apabila dia didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Memetik Bernama, Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Md Jakir Hossain mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa bertindak berani apabila menggunakan kad pengenalan milik dua individu lain yang langsung bukan kepunyaannya, tanpa sebarang kuasa atau alasan sah.

Taktik itu dipercayai digunakan bagi membolehkan dia membeli petrol bersubsidi tanpa menimbulkan syak wasangka.

Perbuatan tersebut dikesan berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, dalam tempoh agak panjang, dari 8 Februari hingga 22 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengenakan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan tertuduh sudah membyar denda dikenakan ke atasnya.

Sebelum ini Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian dialami mangsa.

“Tertuduh mempunyai pilihan untuk memulangkan kad pengenalan berkenaan, namun tetap meneruskan pembelian petrol walaupun mengetahui MyKad itu bukan miliknya,” katanya.

Peguam, Low Carmen yang mewakili tertuduh pula memohon hukuman denda yang ringan atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga dan telah insaf atas perbuatannya.

Kes ini terbongkar apabila pemilik MyKad yang juga seorang akauntan menyedari sesuatu tidak kena. baki subsidi BUDI95 miliknya tiba-tiba susut mendadak daripada 94.937 liter kepada hanya 44.637 liter pada 22 April lalu.

Lebih mencurigakan, kad pengenalannya dilaporkan hilang sehari sebelum itu, sekali gus menimbulkan syak wasangka bahawa ia telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya.

Semakan lanjut bersama pusat khidmat Budi MADANI kemudian mendedahkan lima transaksi mencurigakan menggunakan kad berkenaan.

Hasil rakaman CCTV akhirnya membawa kepada penahanan tertuduh, dan pemeriksaan di bilik sewanya menemui dua MyKad milik pengadu serta seorang lagi individu, sekali gus merungkai keseluruhan modus operandi kes ini.

Baca juga: Exco Perak adakan pertemuan dengan PM Anwar, maklum perkembangan 3 gajah Malaysia di Jepun