Peminat terharu Bella Astillah dijemput hadiri acara keluarga Syed Saddiq, tumpang gembira

Oleh WAN SITI AMINAH

Kehadiran penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dalam satu majlis istimewa melibatkan keluarga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengundang perhatian ramai baru-baru ini.

Hal ini kerana peminat dapat merasakan bahawa kedua-dua personaliti popular terbabit semakin akrab sehingga Bella dijemput menjadi tetamu dalam majlis yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga Syed Saddiq.

Menerusi perkongsian di platform TikTok, majlis tersebut dipercayai diadakan di sebuah restoran untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran ibu Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani bersama keluarga tercinta.

Video berdurasi 15 saat memaparkan suasana majlis yang diadakan di sebuah ruangan privasi di restoran berkenaan bagaimanapun hanya dirakam dari jauh dipercayai tanpa pengetahuan para hadirin.

Dalam rakaman tersebut, Bella dilihat mengenakan dress berona biru didampingi oleh Syed Saddiq untuk menyapa ahli keluarga kepada Bekas Menteri Belia dan Sukan yang hadir dalam majlis itu.

@bass_forever

wah ada Bella 💕 video from: ivylavigne_ (Thread) @Syed Saddiq @Bella Astillah #syedsaddiq #bellaastillah #bass

♬ original sound – Bella Astillah & Syed Saddiq

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa terharu kerana Bella dilayan dengan baik malah seperti sudah dianggap sebahagian daripada keluarga ahli politik terbabit.

Mereka juga tumpang gembira dengan keakraban Bella bersama keluarga Syed Saddiq selain turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang merakamkan detik cukup istimewa itu.

“Nampak saling bergilir-gilir sambut majlis hari jadi untuk kesayangan masing-masing. Alhamdulillah, mereka saling menghormati dan menyayangi keluarga pasangan,” kata seorang pengguna.

“YB (Yang Berhormat Syed Saddiq) nakkan privasi. Tetapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ada di serata alam. Dia tak tahu pasukan BASS (penggemar Bella Astillah dan Syed Saddiq) miliki CCTV terbaik.” Seloroh pengguna lain.

Berikut antara komen yang ditinggalkan oleh penggemar mereka berdua.

Sekadar info, Bella dan Syed Saddiq belum memberikan sebarang pengesahan tentang status hubungan sebenar namun kemesraan yang ditonjolkan telah membuatkan peminat melihat mereka sebagai pasangan kekasih.

Baca juga: Hari-hari dapat hadiah daripada senior, Ayda Jebat sanggup makan dalam tandas sebab takut