Dividen KWSP dah masuk, tapi kenapa tak penuh ke Akaun 3? Ini jawapannya

Oleh MALAYSIADATELINE

Bagi pencarum yang mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengumuman dividen 6.15 peratus pastinya mengundang rasa teruja dan lega.

Namun begitu, perlu difahami bahawa jumlah dividen berkenaan tidak boleh dimasukkan sepenuhnya ke dalam Akaun 3 (Fleksibel) kerana agihan akan dibuat mengikut struktur pembahagian akaun yang telah ditetapkan pihak KWSP.

Menurut Astor Awani, cadangan agar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2025 disalurkan sepenuhnya ke Akaun 3 tidak boleh dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Ahmad Zulqarnain Onn menjelaskan bahawa perkara itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta KWSP 1991 yang tidak membenarkan pemindahan atau pengagihan dividen.

Tegas beliau, setiap dividen yang diumumkan akan dikreditkan mengikut komposisi serta baki simpanan dalam akaun masing-masing, berdasarkan struktur yang telah ditetapkan, tanpa sebarang pengecualian.

“Di bawah Akta KWSP sedia ada, dividen mesti dikreditkan ke dalam akaun yang betul. Jika simpanan berada dalam Akaun 1 atau Akaun 2, dividen perlu dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

“Kita tidak boleh mengambil dividen daripada akaun lain dan menyalurkannya ke Akaun 3,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Tegas beliau, ketetapan itu selaras dengan kerangka perundangan serta prinsip pengurusan simpanan persaraan yang diamalkan KWSP.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan pencarum yang menyimpan dana dalam Akaun Fleksibel tetap layak menerima dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan 2025.

Bagaimanapun agihan itu dibuat berdasarkan baki sebenar dalam setiap akaun, bukan secara pukal.

“Dividen akan dikreditkan mengikut baki purata harian dalam Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3), dan bukannya tertumpu kepada satu akaun sahaja.

“Jika pencarum sudah mengeluarkan keseluruhan simpanan dalam Akaun Fleksibel, maka akaun itu tidak akan menerima dividen.

“Pengiraan dibuat berdasarkan baki purata harian setiap akaun,” katanya.

Baca juga: Masjid tular akhirnya mohon maaf, siasat dakwaan layanan buruk terhadap jemaah