Enggan buat rawatan jantung, Bad Indigo mahu simpan duit KWSP untuk anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi terkenal, Liza Hanim mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat pendedahan yang mengejutkan mengenai rakan artis, Bad Indigo.

Sebagai teman rapat, Liza dan suami telah menasihati anggota kumpulan Indigo itu untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit jantung yang telah lama dihidapinya itu.

Namun, pemilik nama sebenar Badrul Izhan Yeop Abdullah itu berkeras tidak mahu menjalani apa-apa rawatan walaupun sudah mempunyai dana yang mencukupi.

Hal ini dipercayai berpunca daripada keengganan Bad Indigo untuk menggunakan wang simpanan dalam akaun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) miliknya.

Difahamkan, arwah enggan menggunakan wang tabungan tersebut kerana mahu menyimpannya untuk kegunaan anak-anaknya di masa hadapan, lapor Oh Bulan.

Liza yang juga isteri Shahrin Samsudin iaitu ahli kumpulan Indigo itu pernah melihat Bad terkena serangan jantung di hadapannya ketika sedang bekerja di pejabat.

“Pertama kali dia jatuh sakit waktu itu kami di pejabat. Dia nampak lemah sangat ketika itu. Tapi badan masih semangat lagi, kemudian suruh dia baring sebelum di bawa ke hospital.

“Bila dekat hospital itu baru tahu yang sebenarnya dia ada masalah jantung. Saya dan suami (Shah Indigo) ada menasihati dia untuk buat Stend jantung.

“Tetapi Bad kata dia tak mahu buat. Dia nak simpan duit KWSP untuk anak-anak. Dia tidak mahu usik duit itu,” kata pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim itu memetik Oh Bulan.

Perkara tersebut didedahkan Liza ketika menghadiri pengebumian Allahyarham Bad Indigo di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pada Jumaat lalu.

Sentiasa mengingati kenangan bersama arwah di hatinya, Bad Indigo rupa-rupanya telah mula bekerja di syarikat milik Liza Hanim sejak lebih dari 10 tahun yang lalu.

“Hidup perlu diteruskan, arwah tetap ada dalam hati saya dan suami. Selama mana saya kenal dengan suami, selama itu jugalah saya telah mengenali arwah.

“Kami yang hidup semua kena kuat. Arwah pun telah bekerja dengan syarikat saya selama 10 tahun lebih. Saya tahu yang dia sakit,” jelasnya lagi.

Pada 26 Oktober lalu, Allahyarham Bad dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 48 tahun di tempat kerjanya di Ampang kira-kira jam 7 malam.

Sekadar info, Bad bergelar bapa tunggal sejak 2010 dan penyanyi itu dikurniakan dua anak pada perkahwinan terdahulu iaitu Rayyan, 14, dan Rania berusia 13 tahun.

Bad juga dilaporkan memohon status OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas menjalani prosedur memotong kesemua jari kaki kirinya akibat kencing manis.

Baca juga: Didakwa dah tak islamik, imej rambut hijau Hafiz Suip terjawab akhirnya, semua demi ‘Terus Bersinar’