Perkongsian seorang gadis mengenai sikap pemandu ‘e-hailing’ yang prihatin terhadap keselamatan terutamanya melibatkan penumpang wanita telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Menerusi hantaran tular dimuat naik di platform Threads itu, gadis terbabit memaklumkan bahawa pekerjaannya selesai pada sekitar jam 10.30 malam sebelum menempah kenderaan e-hailing untuk pulang ke rumah.
Sebaik tiba di kawasan rumahnya, pemandu e-hailing itu mendapati persekitaran sudah gelap gelita dan tindakan seterusnya telah membuatkan penumpangnya merasa cukup terharu dengan keprihatinannya.
“Pemandu e-hailing itu cakap, ‘Eh, gelap ini, nak saya turun juga ke?’. Saya beritahu tak mengapa, sebab sudah biasa dengan keadaan itu. Lalu saya turun dari kenderaan. Tetapi saya perasan, dia tunggu sampai naik tangga.
“Terima kasih, semoga lampu isyarat encik selalu hijau dan rezeki melimpah ruah,” katanya dalam hantaran itu bersama tangkap layar memaparkan maklumat pemandu e-hailing termasuk namanya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terutamanya Kaum Hawa mengakui bahawa tindakan sedemikian memang cukup bermakna buat keselamatan pelanggan e-hailing wanita.
Beberapa individu juga turut tampil di ruangan komen hantaran itu untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka ketika dibantu oleh pemandu e-hailing tanpa mengharapkan bayaran.
“Pernah dapat pemandu yang tak bagi bayar. Pak cik itu cakap dia buat e-hailing sebab bosan dekat rumah sahaja. Waktu itu pula hujung bulan. Saya nak bayar, dia tak bagi. Dalam hati saya menangis. Semoga pak cik sihat selalu,” kata seorang pengguna.
“Tahun 2023 ibu saya meninggal dunia. Dalam perjalanan balik, arwah ibu berikan telefon kepada pemandu untuk hubungi adik saya apabila sampai rumah. Sudah sampai lif, ibu sudah sesak. Adik juga sampai. Dia masih tunggu lagi. Adik baringkan arwah dalam kereta dia. Apabila adik dan abang turun, arwah sudah tiada. Pemandu itu cakap biarkan arwah dalam keretanya sampai ambulans datang.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Bantuan Awal Persekolahan 2026 diteruskan, agihan RM150 bermula 11 Januari