Gara-gara kena ‘block’ di IG, suami nekad cekik isteri depan anak-anak

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah menjadi kebiasaan untuk pasangan saling mengikuti di sosial media, tambahan pula ramai terlalu selesa berkongsi mengenai kehidupan peribadi masing-masing.

Hanya kerana menyekat pasangan di Instagram, seorang wanita dibunuh suaminya di hadapan anak-anaknya dalam sebuah kenderaan.

Lelaki tersebut yang juga seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun di bandar Lucknow, negeri Uttar Pradesh mengambil nyawa isterinya hanya kerana sosial media.

Menurut Wion News, motif pembunuhan adalah berpunca daripada pergaduhan mengenai akaun Instagram mangsa.

Polis memaklumkan, mangsa dikatakan menyekat suaminya di platform itu, menyebabkan lelaki itu berburuk sangka.

Suspek dikatakan berfikiran negatif dengan mempercayai bahawa beberapa pengikut isterinya akan mengunjungi rumah mereka semasa ketiadaannya.

Semasa soal siasat, lelaki itu memberitahu bahawa dia meragui kesetiaan isterinya lalu membunuhnya.

Kejadia tersebut dikatakan berlaku pada pagi Ahad lalu ketika pasangan itu dan anak-anak mereka memulakan perjalanan ke Rae Bareli.

Lelaki tersebut juga dikatakan melencongkan keretanya ke Lebuh Raya Purvanchal dan tidak mengikuti jalan yang biasanya dilalui keluarga tersebut.

Tambah polis, anak-anak kepada pasangan tersebut mengalami trauma dan menangis apabila melihat tertuduh mengunci diri dalam kenderaan selepas melakukan pembunuhan.

“Pasangan itu tinggal di kawasan Para di Lucknow bersama anak perempuan mereka berusia 12 tahun dan seorang anak lelaki berusia lima tahun,” kata polis.

Jangan terlalu obses dengan sosial media hingga sanggup membunuh pasangan hanya kerana disekat dan tanpa usul periksa membuat keputusan yang akhirnya akan memakan diri.

Baca juga: Barang pertama dicari ketika pesawat terhempas, ini fungsi sebenar kotak hitam