Hati ibu manakah yang tidak hancur saat menerima khabar bahawa bayi yang dikandung selama sembilan bulan disahkan meninggal dunia di dalam perut.
Meskipun berat hati untuk menerima takdir, seorang wanita tampil berkongsi kisah duka yang dilaluinya bagi memberi pengajaran kepada ibu mengandung di luar sana.
Wanita yang dikenali sebagai Dyna Yusof itu berkata, kejadian menyayat hati tersebut berlaku pada enam bulan lalu ketika menghadiri pemeriksaan kandungan terakhir.
Kecewanya bukan kepalang, doktor memaklumkan tiada lagi degupan jantung dapat didengari dari bayi yang selama ini aktif di dalam kandungan sejak awal kehamilan.
Tular di media sosial, kejadian itu diceritakan semula oleh Dyna yang merupakan ahli perniagaan menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
“Saya masih tak dapat lupakan. Bukan tak reda, tetapi kejadian ini sangat menyakitkan. Ujian ini terlalu berat sebab saya mengandung cukup sembilan bulan.
“Hari terakhir saya buat pemeriksaan kandungan dapat tahu bahawa jantung bayi sudah berhenti. Masa itu saya terkejut dan terus tanya doktor, bayi saya kemana.
“Doktor jelaskan bahawa bayi saya dah meninggal dunia. Masa itu saya terdiam. Tak mampu berkata apa-apa. Keluar dari bilik doktor, masuk kereta saya terus menangis,” ceritanya.
Tidak lama kemudian, perut Dyna mula mengeras kerana bayi itu sudah tidak bernyawa lagi sebelum bersalin secara semula jadi tanpa bantuan petugas perubatan.
Selepas tiga bulan keguguran itu berlaku, doktor akhirnya berjaya mengesan punca kematian bayi yang dipercayai dijangkiti dengan kuman parasit Toksoplasmosis.
Berpunca daripada parasit ‘toxoplasma gondii’, penyakit ini tersebar kepada manusia melalui kontak dengan najis kucing yang telah terjangkiti dengan kuman berkenaan.
Dalam hantaran yang sama, Dyna menegaskan bahawa dirinya langsung tidak berniat untuk menyalahkan haiwan peliharaan berkenaan di atas pemergian bayinya.
Usahawan itu hanya mahu memupuk kesedaran agar ibu hamil di luar sana lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada terkena jangkitan parasit yang sama.
“Saya minta maaf kepada peminat kucing atau yang memelihara kucing sebab perkara ini mungkin agak sensitif. Saya hanya mahu jelaskan apa yang berlaku.
“Tetapi saya tidak pernah salahkan kucing, saya terima takdir itu. Mungkin Allah SWT nak uji saya.” Katanya yang berharap penonton menerima perkara disampaikannya itu dengan hati terbuka.
Selain najis kucing, parasit ini juga boleh tersebar kepada manusia melalui pemakanan daging mentah atau separa masak yang telah dijangkiti patogen tersebut.