Intan Najuwa terbangkan keluarga pembantu rumah dari Filipina, sambut Krismas di KL

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Intan Najuwa merasa tumpang gembira apabila pembantu rumahnya yang berasal dari Filipina akhirnya dapat berkumpul bersama keluarganya untuk meraikan sambutan perayaan Krimas di Kuala Lumpur.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Intan mengakui cukup menghargai kehadiran pembantu rumahnya itu kerana rela menjaga anak perempuannya iaitu Imane Lunara dengan penuh kasih sayang.

Oleh yang demikian, pelakon berusia 28 tahun terbabit memutuskan untuk menerbangkan keluarga wanita itu ke Kuala Lumpur agar mereka dapat meluangkan waktu bercuti bersama sambil menyambut Krismas.

Pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid itu bukan sahaja menghargai jasa pembantu rumahnya namun turut bertindak sedemikian untuk menunaikan janji yang pernah dibuatnya suatu ketika dahulu.

“Gembira sangat kerana mereka akhirnya bersatu semula. Jussele adalah pembantu saya, sememangnya salah satu anugerah terbesar. Dia menjaga Lunara dengan penuh kasih sayang dan saya sentiasa berterima kasih padanya.

“Saya berjanji kepadanya untuk terbangkan keluarganya ke Kuala Lumpur pada tahun ini. Sekarang ini saya dapat bawa anak perempuan dan keluarga Jussele dari Filipina supaya mereka dapat meraikan Krismas bersama-sama.

“Selamat menikmati musim cuti, Jussele dan keluarga!,” kata Intan menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Threads miliknya dengan gambar pembantu rumahnya ketika menikmati hidangan bersama anaknya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads mengagumi karekter Intan kerana cukup memahami perasaan pekerja yang mencari rezeki di perantauan terutama di musim perayaan.

Ramai juga pengguna mengirimkan doa agar Intan terus dimurahkan rezeki kerana berbesar hati menerbangkan keluarga pembantu rumahnya dari Filipina walaupun perlu mengeluarkan belanja besar.

Baca juga: Restoran mamak banyak guna pelaris? Pengguna FB ini jawabkan kenapa mamak selalu penuh