Jam Rolex suami Bonda Rozita lesap, Roslan Shah akan semak semula ‘live’

Oleh MAISARAH AISYA

Kehilangan jam tangan mewah jenama Rolex milik suami kepada usahwan Rozita Ibrahim terus menjadi tanda tanya apabila perkara itu dikatakan berlaku ketika sesi siaran langsung di TikTok.

Sebelum ini Rozita dan suaminya Aidiamin Ahmad turut serta dalam aktiviti paranormal bersama pengacara Roslan Shah.

Dalam satu video dikongsikan di Instagram, Rozita memaklumkan jam tangan milik suaminya hilang semasa siaran langsung aktiviti paranormal berkenaan.

Tampil menjelaskan di Instagram Story, Roslan atau lebih dikenali sebagai Cik Lan memaklumkan siasatan dalaman akan dilakukan bagi mengenal pasti siapa yang mengambil jam tangan berkenaan.

“Jam Rolex suami Bonda hilang masih tanda tanya? InsyaAllah Cik Lan akan siasat siapa yang ambil.

Roslan turut menegaskan bahawa perbuatan mencuri bukanlah satu tindakan yang boleh dipandang ringan dan berharap individu terlibat tampil bertanggungjawab.

Katanya, perkembangan lanjut berkaitan perkara itu akan dimaklumkan kepada umum selepas semakan selesai dilakukan.

“Cik Lan pantang kalau sesiapa yang mencuri bukan hak kita. Tunggu nanti Cik Lan akan beritahu dan tengok semula siaran langsung TikTok tersebut,” tambahnya.

Baca juga: Bukan bermegah, Haliza Maysuri dedah pakai busana RM185,000 untuk hargai karya