Daftar tak sampai 3 minit! Umno sedia terima ahli Bersatu yang dipecat, digantung tanpa syarat

Oleh MALAYSIADATELINE

Umno mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk daripada kalangan pemimpin dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung baru-baru ini untuk menyertai parti tersebut.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, parti tersebut akan menerima permohonan kemasukan ahli itu tanpa mengenakan sebarang syarat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Asyraf menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya susulan Bersatu mengambil langkah menggantung malah memecat beberapa pimpinan parti semalam.

Sehubungan dengan itu, Umno tampil menyatakan kesediaan untuk menerima penyertaan mereka masuk ke dalam parti yang disifatkan sebagai ‘Rumah Bangsa’ tersebut.

“Kembalilah ke Rumah Bangsa! Umno sedis menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung. Lagipun semuanya berasal dari rahim Umno juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf memaklumkan bahawa parti tersebut sudah menerima sekitar 17, 000 ahli baharu melalui pendaftaran dalam talian sejak pelancarannya lebih dua minggu lalu.

Asyraf yang juga merupakan Pengerusi Amanah Rakyat (MARA) itu juga turut menyertakan sekali laman web sesawang untuk pendaftaran ahli secara atas talian di ruangan komen.

“Yang mana masih belum mendaftar boleh daftar dengan mudah dan sepantas tak sampai tiga minit.” Tulisnya di ruangan komen perkongsian yang mencuri perhatian ramai itu.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu semalam manakala enam lagi wakil rakyatnya digantung keahlian selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa serta-merta.

Dua ADUN yang dipecat adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) dan Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar, Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti).

Manakala enam wakil rakyat yang digantung keahlian melibatkan lima Ahli Parlimen seorang ADUN termasuklah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zain turut dikenakan tindakan sama.

Baca juga: “Suka hati akulah depan rumah!” – Letak ‘bonggol jadian’ atas jalan buat ramai bengang