Kenapa Arab Saudi dah nampak anak bulan tapi Malaysia tak? Ini jawapan paling tepat

Oleh KIM SYAZIE

Kira-kira seminggu sahaja lagi bulan Syawal akan tiba menggantikan bulan Ramadan. Ramai umat Islam berdebar menantikan adakah ahli falak akan nampak anak bulan atau tidak ketika proses mencerap hilal diadaka.

Lebih-lebih lagi Arab Saudi sudah nampak anak bulan dan telah menetapkan hari raya pertama mereka dijangka pada 22 April ini.

Atas kemuskilan itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menjelaskan faktor perbezaan kenampakan anak bulan antara Arab Saudi dan Malaysia.

Seperti dilapor Malaysia Gazette, faktor tersebut berdasarkan umur anak bulan yang dilihat bergantung kepada lokasi geografi sesebuah negara.

“Kita kalau di sini umur anak bulan itu tidak cukup oleh kerana Saudi lebih arah barat, bulan dia itu makin lama umur anak bulan makin panjang, jadi mungkin akan nampak, maksudnya begitu.

“Kita (Malaysia) tidak nampak sebab kita di sebelah timur, Saudi di Barat, beza kita enam jam. Kalau umur anak bulan tujuh jam 11 minit maknanya kalau pergi ke Saudi tujuh tadi tambah lagi enam jam, kemungkinan boleh nampak,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian menerusi jawapan penerangan dalam video berdurasi 1.34 minit di halaman rasmi Facebook milik Jabatan Mufti Negeri Pahang semalam.

“Walau macam mana pun, kita tidak boleh melihat anak bulan berdasarkan Saudi kerana hadis Rasulullah ada bersabda, sesiapa tengok anak bulan berdasarkan satu tempat, hendaklah melihat anak bulan Syawal dan Ramadan, di situlah keputusan diberikan di mana kita tengok anak bulan berdasarkan keputusan sesebuah negara itu.

“Kalau timbul soalan kenapa kita tidak boleh nampak, inilah penjelasannya,” katanya seperti dilapor portal itu.

Baca juga: Doktor dedah ramai anak tanggang ‘buang’ ibu bapa di hospital sebab nak pergi sambut raya