Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin nampaknya tidak main-main ketika menyatakan hasratnya untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan.
Baru sahaja tampil dalam iklan produk makanan, penyampai radio Hot FM itu juga bakal mewarnai industri perfileman tanah air dengan lakonannya tidak lama lagi.
Mengejutkan, khabar tersebut didedahkan sendiri oleh Khairy di dalam majlis doa selamat bersama anak-anak yatim yang dianjurkan Hot FM, lapor Harian Metro.
Khairy yang lebih mesra disapa KJ itu mendedahkan bahawa dirinya telah menerima tawaran daripada beberapa penerbit untuk membintangi filem terbitan mereka.
Walau bagaimanapun, pemilik nama sebenar Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu belum bersedia untuk berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenai tawaran tersebut.
Menyifatkan perkara itu terlalu awal untuk dikongsikan, KJ juga mengunci mulutnya ketika ditanya mengenai watak dan kategori filem yang bakal dilakonkannya nanti.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu hanya meminta orang ramai menunggu pengumuman rasmi kerana perkara tersebut masih berada dalam tahap perbincangan.
“Sekarang ini saya sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak penerbit filem. Tunggulah pengumuman nanti.
“Kena tunggu, jangan ‘spoil the surprise‘ (merosakkan kejutan itu),” kata mantan Ketua Pemuda Umno itu memetik laporan Berita Harian.
KJ sebelum ini berjaya mencuri tumpuan pengguna media sosial tempatan selepas muncul dalam satu iklan bagi mempromosikan jenama produk makanan terkenal.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, KJ berkongsi iklan pendek memaparkan lakonannya sebagai seorang penghantar makanan.
Terdahulu, Khairy pernah membuat pengakuan bahawa dirinya sudah tidak berminat untuk kembali beraksi dalam arena politik yang pernah diceburinya dahulu.
Lebih seronok bertugas sebagai penyampai radio berbanding wakil rakyat, KJ juga meluahkan hasratnya untuk menceburi bidang lakonan sebagai bintang filem.
Baca juga: Tak sangka berjodoh dengan anak murid sendiri, wanita kongsi kisah nikahi pemuda separuh usianya