Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia tidak akan lagi berkompromi kepada mereka yang melanggar peraturan penggunaan cermin gelap.
Sekiranya gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, pemandu dan pemilik kenderaan bakal dikenakan tindakan tegas oleh JPJ termasuk hukuman penjara.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak JPJ menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform media sosial Facebook milik jabatan berkenaan.
Difahamkan, peraturan baharu penggunaan cermin gelap melibatkan kenderaan persendirian itu telah diperkenalkan Kementerian Pengangkutan Malaysia pada Mei 2019 lalu.
Peraturan baharu itu juga telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019).
Menerusi peraturan-peraturan tersebut, Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa telah ditetapkan seperti berikut;
Subkaedah (1) – Cermin hadapan kenderaan 70%;
Subkaedah (3) – Cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50%; dan
Kaedah 12 (1) (b) – Cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang 0%.
“Dingatkan bahawa, pemandu atau pemunya (pemilik) berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan ini adalah melakukan kesalahan.
“Apabila disabitkan, (pemandu atau pemilik) boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan bagi kesalahan pertama.
“Bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya akan dikenakan,” tegas JPJ melalui kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun, mana-mana individu yang perlu menggunakan cermin gelap atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan melalui pos atau portal JPJ.
Namun begitu, mana-mana individu yang membuat permohonan hendaklah mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa terlebih dahulu sehingga kelulusan diperolehi.
Menurut JPJ lagi, berdasarkan rekod pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 108,428 notis kesalahan yang melibatkan cermin gelap sejak tahun 2019.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,218 telah dikenakan saman JPJ(P)22 yang melibatkan kesalahan cermin gelap.