Cap jari sepadan! Mayat dalam beg ditemui ditanam di Rembau sah milik Suri Narudin

Oleh MALAYSIADATELINE

Mayat ditemui dalam beg yang ditanam di sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan pada 18 Disember lalu disahkan milik wanita dilaporkan hilang sebelum ini iaitu Suri Narudin.

Perkata itu dimaklumkan pihak polis yang menjelaskan bahawa pengesahan identiti tersebut dilakukan melalui pemeriksaan cap jari yang didapati sepadan dengan data di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, cap jari tersebut didaftarkan di atas nama Suri Narudin yang hilang berdasarkan laporan di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu, lapor Berita Harian.

Difahamkan, kehilangan Suri sebelum ini disedari selepas beberapa hari wanita itu gagal tiba di Zurich, Switzerland seperti dijadualkan sebelum rakannya yang menunggu di sana menghubungi keluarga mangsa di Sarawak.

“Pihak polis mengemukakan satu set cap jari untuk tujuan pemeriksaan dan perbandingan cap jari di Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan bahawa cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam sistem JPN,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Pihak polis juga mengesahkan bahawa laporan analisis DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia sudah diterima di mana sumber spesimen didapati memiliki hubungan kekeluargaan yang sangat tinggi.

Sehubungan dengan itu, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau atau balai polis berhampiran.

“Berdasarkan keputusan analisis DNA yang dijalankan, perbandingan profil mendapati spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat membabitkan sumber spesimen hubungan adik-beradik kandung.

“Kebarangkalian hubungan sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri,” jelasnya berhubung hasil ujian DNA antara Suri dan kakak kandungnya.

Terdahulu, pihak polis dilaporkan menemukan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 4 Pedas, pada 18 Disember lalu.

Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka dan Genting Sempah dalam tempoh 24 jam di mana salah seorang daripadanya adalah suspek utama yang dikatakan mengenali mangsa.

Baca juga: Kes mayat dalam beg: Hanya pasangan kekasih, keluarga nafi suspek utama suami Suri