Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, semalam mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya secara sukarela atas faktor kesihatan.
Mohd Shukri memaklumkan sudah mempersembahkan surat perletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, tengah hari semalam lapor Kosmo! Online.
“Saya telah diperkenan untuk mengadap Raja Perlis pada hari ini dan telah menyatakan hasrat saya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dalam masa sama beliay berharap penggantinya dapat meneruskan agenda yang telah dirancang khusus dalam bajet dibentang.
“Ia bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Perlis ini dan teruslah bekerja dengan sempurna dan istiqamah dalam menentukan kehidupan kita yang lebih sejahtera menjadi rakyat yang berjaya, insya-Allah,” ujarnya.
Menjawab mengenai tahap kesihatannya, beliau menjelaskan ada mengalami kesakitan pada bahagian dada dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau turut memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan serta kekurang sepanjang menggalas amanah.
Mohd. Shukri turut membuat penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Perlis yang telah memberikan kerjasama baik.
Baca juga: Fadhli sokong Akmal, gesa hidupkan Muafakat Nasional selepas peristiwa hitam Perlis