Parkir di bahu jalan R&R, tiga kenderaan dilanggar treler

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah menjadi kebiasaan setiap kali musim cuti sekolah, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dipenuhi orang ramai yang mengambil peluang berhenti seketika untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan jauh.

Namun janganlah sampai parkir kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya hingga menyebabkan kesukaran kepada pemandu lain.

Tular di media sosial video sebuah treler yang melanggar tiga buah kereta di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Melaka semalam.

Menerusi rakaman yang tersebar, beberapa kenderaan termasuk Perodua Alza dilihat mengalami kerosakan selepas dilanggar sebuah treler yang mahu memasuki laluan ke R&R tersebut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ia kini disiasat Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR), Bukit Aman lapor Harian Metro.

Jelas beliau, kemalangan itu membabitkan satu kenderaan berat jenis treler dan tiga buah kereta persendirian.

“Kes ini berada di bawah siasatan USLR Bukit Aman dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tegas beliau, maklumat lanjut berkaitan punca kejadian dan tindakan akan dimaklumkan selepas siasatan selesai.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tular itu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan.

Baca juga: Syahmi Sazli raih ratusan ringgit hanya dengan muat naik gambar random