Pengawal peribadi terpaksa ditidurkan, kritikal lepas kena satu das tembakan di KLIA

Oleh WAN SITI AMINAH

“Ada individu melepaskan tembakan kepada pengawal peribadi saya. Allahu Akbar!”, berikut hantaran yang kini menjadi topik perbincangan paling hangat di media sosial.

Hantaran itu dimuat naik oleh wanita dikenali sebagai Farah Cie di laman Facebook selepas pengawal terbabit ditembak di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA), awal pagi tadi.

Mengundang pelbagai tanda tanya, suspek yang melepaskan dua das tembakan itu rupanya bukanlah orang asing sebaliknya suami kepada pemilik akaun Facebook berkenaan iaitu Farah Cie atau nama sebenarnya, Farah Md Isa.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek iaitu Hafizul Zarawi yang sedang menjadi buruan pihak polis itu didapati memiliki tiga rekod jenayah lampau, lapor Harian Metro.

Dua daripadanya berkaitan dengan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah manakala satu lagi kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Jelas Mohd Shuhaily, dua laporan di bawah Seksyen 506 itu dibuat oleh isteri suspek sendiri pada 2016 dan Disember tahun lalu sebelum akhirnya membuat keputusan untuk menggaji pengawal peribadi.

Baca Artikel Penuh