Penjual daging nak belanja ‘gear box’ 4 ketul, bantu cari pelanggan tak bayar RM290

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM290 apabila pelanggan yang mendakwa sudah mengimbas kod respons pantas (QR) tidak melakukan sebarang pembayaran selepas membeli beberapa bahagian daging.

Menerusi perkongsian video dimuat naik di akaun TikTok miliknya, peniaga itu memaklumkan bahawa pelanggan terbabit memesan beberapa bahagian daging termasuk tulang rusuk, kulit dan perut lembu di gerainya.

Pelanggan terbabit mendakwa sudah membuat bayaran untuk pembelian yang berjumlah RM290 melalui imbasan QR namun peniaga mendapati tiada transaksi dengan nilai sedemikian masuk ke dalam akaun bank miliknya.

Namun peniaga itu dapat menarik nafas lega kerana turut melakukan siaran langsung ketika kejadian berlaku yang turut berjaya merakamkan kelibat pelanggan berkenaan walaupun wajahnya tidak kelihatan begitu jelas.

Sehubungan dengan itu, penjual daging terbabit memuat naik rakaman tersebut di platform TikTok dan memohon bantuan dari orang ramai untuk membantu mengesan pelaku supaya dapat melunaskan bayaran.

“Apabila pelanggan tak bayar. Beli daging, tulang rusuk, kulit dan perut lembu semua berharga RM290. Aku cari sampai dapat orang ini. Nasib baik buat ‘live’ tadi. Kata sudah QR tetapi rupanya ‘scammer’.

“Benda makan pun tak bayar. Pelaku yang berbaju belang putih dan memakai cermin mata,” kongsi peniaga itu di ruangan kapsyen video berdurasi satu minit yang memaparkan kelibat pelanggan terbabit.

Dalam perkongsian sama, peniaga itu turut menawarkan daging lembu bahagian ‘gear box’ sebanyak empat ketul secara percuma kepada mana-mana individu yang berjaya mengesan pelaku.

@bqs1619

pagi2 dah kena SCAMMERS kat pasar tani😇😇😇😇😇

♬ suara asli – sultanofficialpku – user86380366447

Mengulas lanjut, peniaga itu menjelaskan bahawa mesin ‘sound box’ QR yang mengeluarkan bunyi apabila bayaran diterima sudah dipasang di gerainya namun masih tidak dapat menyelamatnya daripada penipuan.

Baca juga: “Abah saya kaya, kacak…” – Anak Aliff Syukri minta gelang RM25k sempena ulang tahun ke-15