Pendakwah selebriti, PU Amin menggesa agar pencipta kandungan berhenti menghasilkan tontonan berunsur syirik seperti merakam aktiviti paranormal atau memburu hantu sama ada sekadar untuk melawak atau serius.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, PU Amin menjelaskan bahawa aktiviti itu perlu dihentikan kerana boleh memberikan kesan buruk kepada pemikiran masyarakat serta mencemarkan kesucian agama Islam.
Pu Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim turut menegaskan bahawa konsep ruqyah adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukanlah bertujuan menghalau hantu.
“Sampai bila Malaysia perlu dan boleh terima kandungan paranormal cari hantu ini. Sama ada untuk lawak atau serius, benda ini tak boleh wujud. Ia boleh merosak akal dan mencalar maruah agama.
“Konsep ruqyah bukan untuk menghalau hantu, tetapi amalan nak mendekatkan diri dengan Allah. Berhentilah membuat kandungan syirik mencari hantu ini,” kesal pendakwah terbabit berhubung isu tersebut.
Difahamkan, teguran dibuat oleh pendakwah berusia 35 tahun itu susulan penularan rakaman program kendalian pengacara, Roslan Shah yang memaparkan insiden suami kepada usahawan sensasi, Rozita Ibrahim konon dirasuk.
Pendakwah berkenaan juga berharap supaya pemikiran sesat segelintir pihak yang menganggap bahawa ustaz dan ruqyah sebagai ‘alat’ menghalau hantu diperbetulkan dengan segera.
“Ustaz, agama dan ruqyah bukan gajet dan alat untuk halau hantu. Pemikiran sesat macam ini kena betulkan segera. Buat program hantu tak perlu sediakan ustaz. Ustaz bukan mainan dan kuli halau hantu.
“Ruqyah bukan jampi serapah. Yang kena hentikan adalah kandungan cari hantu yang syirik ini.” Tegas pendakwah terbabit berhubung isu penghasilan program paranormal yang masih gemar ditonton oleh masyarakat Malaysia.
Baca juga: Gadis Indonesia anggap Malaysia miliki pengangkutan awam terbaik kerana ada pas bulanan