Rakyat Malaysia berdepan denda cecah RM320,000, cuba rasuah polis Singapura S$50

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki warganegara Malaysia dihadapkan ke mahkamah di Singapura pada 7 November lalu di atas dakwaan cuba menawarkan rasuah kepada pegawai polis trafik di negara berkenaan.

Menerusi satu kenyataan dikongsikan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB), tertuduh iaitu Lee Keh Meng didakwa cuba menawarkan rasuah sebanyak S$50 atau sekitar RM160 kepada pegawai terbabit.

Pegawai dikenali sebagai Sarjan Hafiz itu bagaimanapun menolak rasuah yang ditawarkan Lee dan kes kemudian dirujukkan Pasukan Polis Singapura kepada pihak CPIB untuk tindakan lanjut.

CIPB dalam kenyataan itu turut menegaskan bahawa Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar yang ketat terhadap rasuah dan mana-mana pihak didapati malakukan kesalahan tersebut akan dijatuhkan hukuman.

“Pada 23 Oktober 2025, Lee didakwa menawarkan rasuah kepada Sarjan Ahmad Hafiz Bin Abdul Sukur sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kes perkhidmatan teksi rentas sempadan tanpa kebenaran.

“Atas tindakan didakwa dilakukannya itu, Lee dihadapkan dengan satu pertuduhan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(b) Akta Pencegahan Rasuah. Singapura amalkan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah.

“Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan rasuah di bawah seksyen itu boleh didenda sehingga S$100,000 (kira-kira RM319,888.47) atau dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, agensi pencegahan rasuah Singapura itu turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti semua aduan dan laporan berkaitan rasuah termasuklah daripada pemberi maklumat tanpa nama.

Pihaknya memberi jaminan akan merahsiakan identiti pengadu seperti termaktub di bawah undang-undang Singapura kecuali jika mahkamah mendapati maklumat diberikan tersebut adalah kenyataan palsu.

“Pengadu juga boleh memilih untuk tidak mendedahkan butiran peribadi mereka semasa mengemukakan aduan rasuah.” Ujar kenyataan itu yang memaklumkan laporan boleh dibuat secara atas talian, panggilan telefon atau kiriman surat.

Baca juga: Kecoh pelancong China buat hal di kedai kopi terkenal, netizen ‘ugut’ nak boikot jenama