Sarawak berniat ambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik dari Kerajaan Persekutuan

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan negeri Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak lagi entiti penting dan aset strategik yang kini berada di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan ekonomi.

Difahamkan, tindakan pengambilalihan yang sudah dimulakan sejak enam tahun lalu itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan autonomi ekonomi serta kawalan terhadap aset penting negeri tersebut.

Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, langkah itu juga selari dengan agenda untuk memperluaskan hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Abang Johari menjelaskan bahawa langkah pengambilalihan ini akan dilaksana berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, lapor Berita Harian.

“Sebab itu dalam tempoh enam tahun lalu, kita mengambil langkah mengukuhkan ekonomi dengan mengambil alih kuasa tenaga Empangan Hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita mengambil alih Pelabuhan Bintulu; mewujudkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan syarikat penerbangan AirBorneo; serta mengambil alih majoriti ekuiti bank komersial Affin Bank.

“Malah, banyak lagi yang kita hendak ambil alih daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Sarawak 2026 hari ini.

Abang Johari bagaimanapun tidak mengulas lanjut mahupun mendedahkan secara terperinci mengenai entiti mahupun aset strategik baharu yang akan diambil alih tersebut.

Namun beliau memberikan jaminan bahawa pengambilalihan serta kewujudan banyak entiti strategik itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat tempatan.

Baca juga: “Ramly dah dijual pada syarikat lain?” – Individu persoal tujuan sebarkan fitnah