Shuhada kongsi foto didukung bekas suami untuk iklan produk, ini amaran Hafidz Roshdi

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama berdiam diri, pelakon Hafidz Roshdi kembali menyita perhatian setelah memuat naik satu perkongsian di akaun Instagram miliknya.

Menerusi hantaran tersebut, Hafidz Roshdi menegur tindakan bekas isterinya, Nurul Shuhada yang berkongsi gambar mesra mereka berdua ketika masih bersama.

Dengan tegas, lelaki berusia 29 tahun itu menuntut agar Shuhada segera menukar foto berkenaan atau memadam terus hantaran yang dikongsikan di Instagram itu.

Sekiranya Shuhada enggan menukar atau memadam foto tersebut, Hafidz Roshdi tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut terhadap bekas isterinya itu.

Difahamkan, perkongsian Shuhada yang memaparkan dirinya didukung oleh Hafidz itu dimuat naik dengan tujuan untuk mempromosikan produk menguruskan badan.

“Saya dapat tahu ada orang guna gambar saya untuk promosi barang dia. Tak tahulah nak promosi untuk tujuan apa. Macam dah tak ada originality (keaslian).

“Tak ada gambar lain? Saya rasa boleh padam atau tukar dengan gambar lain sebelum saya ambil tindakan yang sewajarnyalah,” tegas Hafidz memberi amaran.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Nurul Shuhada Mat Shukri itu dikecam orang ramai apabila berkongsi foto dirinya didukung oleh seorang lelaki dipercayai Hafidz Roshdi.

Walaupun wajahnya telah ditutup dengan emoji, namun rata-rata pengikut dapat mengecam bahawa lelaki tersebut adalah pelakon drama Tundukkan Playboy itu.

Tidak bersetuju dengan tindakan Shuhada, ramai individu mendakwa ibu tunggal itu seperti belum ‘move on’ setelah sah bercerai talak satu dengan Hafidz Roshdi.

Hal ini kerana, Shuhada boleh sahaja menggunakan gambar lain untuk menunjukkan perubahan bentuk dan berat badannya bagi mempromosikan produk kurus tersebut.

Tidak lama kemudian, tinjauan mendapati perkongsian Hafidz Roshdi yang memberi amaran kepada bekas isterinya itu telah dipadam daripada akaun Instagram miliknya.

Begitu juga dengan Shuhada yang memadam video mengandungi gambar bersama bekas suaminya setelah menerima kritikan hebat sejurus ia tular di media sosial.

Untuk rekod, pasangan berkenaan berkahwin pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai talak satu pada 27 Julai lalu oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Hal ini kerana, mahkamah mendapati lafaz cerai talak satu Hafidz Roshdi secara lisan terhadap Shuhada pada 22 Februari lalu sah dan mengikut hukum syarak.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, Hafidz dan Shuhada telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, berusia dua tahun.

Baca juga: Bunda Hetty tegur Kak Lina agar suaikan diri dengan rakan pengacara, “bila masuk rumah orang, ikut cara mereka”