Peminat filem Kampung Pisang Bersiri-siri pasti masih mengingati menu unik Mi Kari Kuah Laksa yang dipesan oleh pembawa watak Yah Kuchai.
Namun tahukah anda, menu unik tersebut sebenarnya memang wujud di dunia luar filem dan telah dinikmati oleh rakyat Malaysia bermula dari zaman 1970-an lagi.
Bukan sekadar rekaan semata-mata, perkara itu didedahkan sendiri oleh anak kepada pengarah filem tersebut, Allahyarham Mamat Khalid iaitu Nor Sara Mohamad.
Menurut Nor Sara, bapanya mengambil inspirasi menu tersebut daripada makanan yang biasanya dipesan oleh murid di kantin sekolah pada zaman itu, lapor Bernama.
“Ada cerita di sebalik menu Mi Kari Kuah Laksa ini. Papa kata ia makanan yang biasa dipesan oleh kanak-kanak ketika di kantin sekolah pada zaman 70-an dahulu.
“Anak-anak sekolah akan pesan mi kuning yang biasa di makan dengan kuah kari, tapi kuahnya diganti dengan kuah asam laksa,” katanya memetik laporan Bernama.
Menyedari pengaruh filem Kampung Pisang Bersiri-siri , Nor Sara kini mewujudkan ilham bapanya dengan memasukkan menu itu sebagai hidangan di kafe miliknya.
Dijual dengan harga RM8.50 semangkuk, Nor Sara mahu memberi peluang kepada peminat untuk merasai menu yang dicetuskan arwah bapanya dalam skrip filem itu.
Lebih menarik lagi, Nor Sara memaklumkan dirinya turut mengekalkan resepi ibunya yang gemar memasak laksa iaitu salah satu makanan kegemaran arwah bapanya.
Pelanggan yang memesan menu itu akan mendapat mi kuning yang dicurah kuah asam laksa utara, hirisan nenas, bebola ikan, telur rebus, salad dan perahan limau.
Baca juga: Pilih untuk fokus kerja, Aedy tak rancang nak lamar kekasih dalam masa terdekat