Sekian lama mendiamkan diri, isteri kepada bekas anggota In-Team, Suhaimi Saad iaitu Ina Naim akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar suaminya.
Mengambil kesempatan untuk mewakili suami, Ina atau Nordiana Mohd Naim memohon maaf sekiranya Suhaimi pernah menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Wanita yang berusia 39 tahun itu memaklumkan, suaminya kini masih lagi ditidurkan namun sudah mula menunjukkan perubahan yang baik, lapor Berita Harian.
Menurutnya, Suhaimi mula dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor Bahru sejak lima hari lalu kerana mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
“Setakat ini, doktor maklumkan suami alami jangkitan kuman pada paru-paru. Hasil ujian pertama, doktor mengesahkan Suhaimi bebas Tuberculosis (tibi).
“Untuk sahkan lagi, doktor sudah jalankan ujian kedua, tetapi kami masih menantikan keputusan. Buat masa ini, suami masih ditidurkan.
“Doktor maklumkan keadaannya kritikal, tetapi semalam oksigen berada pada tahap normal, cuma jantungnya masih lagi laju sekitar 130,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Memohon doa daripada orang ramai, Ina yakin pemilik nama sebenar Mohd Suhaimi Saad itu bakal sembuh walaupun disahkan doktor berada di dalam keadaan kritikal.
Ina turut mendedahkan, Suhaimi mulanya mengalami batuk beberapa bulan lalu yang disangka hanya batuk biasa selain berat badannya turun 20 kilogram sejak bulan lepas.
“Kami ingatkan sebab makan buah banyak pada musim buah baru-baru ini menyebabkan Suhaimi batuk. Namun, lama-kelamaan batuknya menjadi semakin teruk sehingga sesak nafas.
“Bulan lalu, batuknya beransur pulih, tapi mengalami cirit-birit pula. Suhaimi ada selera, tapi tak sanggup nak makan kerana setiap kali makan akan buang air besar. Sebab itulah badannya susut sehingga tinggal 43 kilogram.
“Kami sudah ikhtiar macam-macam sehinggalah Suhaimi sendiri minta dihantar ke hospital. Dia bukan tak percaya hospital, cuma itu adalah ikhtiar terakhirnya,” ulasnya.
Bapa Ina Naim kemudian mencadangkan agar menantunya itu dibawa pulang ke Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan supaya mudah jika berlaku apa-apa.
“Keadaan Suhaimi ketika itu lemah dan berikan keizinan untuk ditidurkan bagi kurangkan kesakitan. Saya tak minta banyak, hanya nak suami kembali sedar. Banyak lagi yang saya nak cerita dengannya.
“Apa yang buatkan saya optimis Suhaimi boleh sembuh dan sihat kerana salah seorang anggota In-Team, Mohd Syahril juga pernah alami masalah sama, malah lebih teruk lagi.
“Tapi isterinya banyak meniupkan kata semangat. Bila dengar kata-katanya saya tambah semangat dan yakin suami akan sembuh.” Jelasnya lagi.
Untuk rekod, Suhaimi menikahi Ina pada 12 Ogos 2007 lalu dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Baca juga: 8 hari tak dapat khabar keluarga di Gaza, Nadir Al-Nuri bersyukur isteri dan anak masih hidup